Ada Apa Dengan Kabel...?











Ramai orang kata kalau nak masuk bidang kerja di sektor awam ni kena ada kabel. Bukan kabel wayar tu tapi ‘orang dalam’ yang akan membantu calon temuduga dengan senang-senangnya mendapat pekerjaan yang dimohon.
Betul ke macam tu?
Kalau betul, memang tidak adil langsung! Jawatan yang sepatutnya dimiliki oleh mereka yang berkelayakan dapat kepada orang yang tidak sepatutnya.
Kalau saya, saya pun marah juga! Tapi apa boleh buat…
‘Guna Kabel’ – bermaksud seseorang calon temuduga itu cuba menggunakan pengaruh orang tertentu dalam jabatan atau kementerian tersebut yang mana tindakannya mampu merubah/mempengaruhi keputusan pemilihan calon temuduga di sektor awam ini.
Apa yang boleh saya katakan adalah: inilah orang yang tidak jujur dan mampu merosakkan krediabiliti sesebuah jabatan/kementerian/organisasi. Disebabkan tindakan mereka, calon-calon temuduga yang lain merasa tawar hati dan dianiaya. Ini telah menimbulkan persepsi buruk di kalangan pemohon kerja di sektor awam kepada sektor kerajaan. “Disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga”. Disebabkan inilah ramai calon yang gagal temuduga berkata “Aku takdak kabel macam mana nak dapat.. Lain la Abu tu, dia pakai kabel besar sikit punya besar”. Apabila gagal saja, inilah persepsi yang diberikan mereka. Bukan salah mereka, tetapi salah orang tertentu yang tidak jujur dan tidak amanah. Kalau kita ada kabel, agak-agak kita pun nak guna sama tak. Biasalah manusia. Ya tak? ;-)
Akan tetapi sejauh mana keberkesanan dengan menggunakan KABEL ini?
Adakah ianya 100% berkesan? Sama sekali tidak! Berdasarkan kajian dari pakar, penggunaan ‘kabel’ ini amat berkesan hanya jika permohonan jawatan sektor awam adalah bukan dari persekutuan. Bukan semua, tapi ada la… Ianya ada melibatkan jawatan untuk pihak berkuasa tempatan, di universiti, dan lain-lain. Sejauh mana kebenarannya, saya sendiri tidak tahu. Dilaporkan, calon temuduga yang ada saudara-mara yang berpengaruh (orang dalam) dalam sektor awam, akan cuba menggunakan pengaruh saudara-mara mereka untuk membantu kejayaan mereka semasa temuduga. Kadang kala, tidak hairanlah jika kita terjumpa kakitangan yang ada hubungan saudara dalam satu pejabat. Inilah hasilnya dengan menggunakan ‘kabel’
Akan tetapi adakah semuanya menggunakan kabel untuk memohon jawatan dalam sektor yang disebut tadi? Sudah tentu tidak. Sebenarnya kebanyakan penjawat yang dipilih adalah berdasarkan keupayaan, kebolehan dan kelayakan mereka. Jika semua jawatan diberikan kepada orang yang tidak layak, bagaimana pula sesuatu organisasi dapat berjalan..Cuba anda fikir-fikirkan..
Sekarang saya bercerita pula mengenai penggunaan ‘kabel’ dalam temuduga bagi sektor awam di peringkat persekutuan. Anda setuju tak jika dikatakan bahawa ianya amat-amat tidak berkesan? Ya, tidak berkesan! Mengapa? Kerana pemilihan adalah dikawal dengan ketat dan telus oleh pegawai-pegawai berkenaan. Mereka amat mementingkan kualiti, kejujuran dan integriti dalam proses pemilihan calon. Jadi tidak hairanlah jika calon itu menggunakan kabel ‘sebesar manapun’ mereka tetap tidak akan berjaya.
Tidak kira berjaya atau tidak, soalan saya kepada anda adalah
“Sanggupkah anda memperolehi kerja dengan cara yang tidak jujur, dimana ianya akan menjadi sumber rezeki utama bagi anda sehingga masa tua anda”
Apapun jawapan anda, renung-renungkanlah…
Dalam Islam, kita dinasihatkan untuk mencari rezeki dengan cara yang halal dan tidak shubhah. Rezeki Allah ada di mana-mana saja, terpulang kepada kita untuk mencarinya.
Biarkan orang lain dengan ‘kabelnya’. Usah anda terlalu memikirkannya kerana ianya memberikan perasaan tidak puas hati dan kecewa kepada diri anda saja. Lapangkan hati anda untuk meneruskan kehidupan yang dianugerahi pelbagai sumber rezeki melimpah ruah dari Allah ini.
Itu saja yang dapat saya kongsikan untuk anda.
Apapun anda boleh memberikan komen, pandangan ataupun nasihat berkenaan topik ini supaya dapat dibaca dan dikongsikan oleh pembaca-pembaca lain.