Wednesday, April 21, 2010

Salah Anggapan Calon Temuduga

Biasanya, kita beranggapan kita sudah membuat yang terbaik semasa temuduga dan berasa yakin akan lulus temuduga tersebut sekiranya kita:







1. Memiliki kelulusan Yang Cemerlang Samada Ijazah, Diploma ataupun Sijil

Bukan begitu sebenarnya. Bukan bekas graduan yang mempunyai CGPA 3.5 atas yang dicari oleh panel penemuduga akan tetapi adalah mereka yang mampu dan berkelayakan untuk menanggung kerja yang bakal disandang. Kelulusan yang cemerlang ini cuma membantu dari segi meningkatkan peratus kebarangkalian kita untuk dipanggil menghadiri temuduga. Jika anda memiliki keputusan yang cemerlang sekalipun, akan tetapi tidak “menyerlah” semasa sesi temuduga anda juga boleh gagal. Ramai calon yang beranggapan seperti ini telah gagal dalam temuduga kerja kerajaan.

2. Seseorang Calon Itu Mesti Banyak Bercakap Semasa Temuduga

Memang tidak dinafikan banyak bercakap akan membantu kita semasa temuduga. Akan tetapi apakah butiran percakapan kita? Adakah kita bercakap sesuatu yang tidak kena mengena atau tidak membawa erti berkenaan soalan yang ditanya? Jika ya, buruk padahnya yang diterima jika anda berbuat sedemikian. Apa yang penting adalah, setiap yang kita ucapkan haruslah berkaitan dengan dengan soalan yang ditanya oleh panel penemuduga bukannya jawapan yang meleret-leret atau syok sendiri.

3. Lebih Lama Ditemuduga, Lebih Tinggi “peluang” Untuk Lulus Temuduga

Cuba kita lihat, adakah seorang penyanyi yang menyanyi lama di atas pentas dalam satu program realiti seperti AF akan berjaya menjadi johan? Sudah pasti tidak. Begitu juga dengan temuduga, tidak semestinya jika kita ditemuduga 30-45 minit menandakan kita berjaya. Semuanya bergantung kepada kualiti kita dalam proses temuduga tersebut samada dari segi kebolehan kita menjawab soalan, penampilan diri, kelayakan, bakat, kreatif , dan lain-lain lagi.

4. Ada Surat Sokongan/Kabel

Sekiranya kita memiliki kabel ataupun orang dalam, tidak dinafikan kadang-kadang ianya membantu kita berjaya dalam temuduga. Akan tetapi adakah kesemuanya yang menggunakan kabel ini berjaya? Tidak sama sekali. Berapa kerat saja yang menggunakan kabel ataupun orang dalam yang berjaya dalam temuduga kerja kerajaan. Ada kabel sahaja tidak berguna jika semasa temuduga menggelabah dan gagal menawan hati panel penemuduga. Daripada pemerhatian para pakar, kebanyakan calon yang berjaya dalam temuduga tersebut adalah mereka yang berusaha sendiri tanpa menggunakan sebarang bantuan dalaman. Apa yang sdiketahui, melalui temuduga SPA, boleh dikatakan tiada calon yang menggunakan kabel yang berjaya dalam temuduga tersebut sekiranya calon tersebut memang benar-benar tidak layak. Lagipun, cuba kita fikirkan, kita mahukan pekerjaan yang tetap secara halal dan bersih serta juga adil. Adakah kita sanggup untuk mendapat pekerjaan tetap secara tidak bersih dan tidak jujur?

5. Senang Saja Soalan Yang Ditanya

Ini satu lagi anggapan salah yang sering difikirkan oleh calon. Tak semestinya kita dapat menjawab soalan yang ditanya kita akan lulus temuduga tersebut. Ada juga calon yang tidak dapat menjawab soalan yang berjaya dalam temuduga tersebut. Mengapa? Sebenarnya panel ingin melihat kejujuran ataupun kelainan pada diri kita. Dan juga cara kita menjawabnya.. Jika soalan ditanya contohnya “Siapakah Perdana Menteri Malaysia ke 5? Adakah anda jawab Datuk Seri Najib Razak? Fikir-fikirkanlah cara anda menjawab yang sesuai…

6. Panel Penemuduga Sukakan Saya

Suasana temuduga meriah, ceria dan ada gelak ketawa. Sudah pasti kita menyangka kita akan berjaya. Belum tentu… Ini semua taktik saja... Hehe... Tetapi tidak dinafikan juga jika panel penemuduga memang benar sukakan kita, mereka akan kelihatan mesra dan ceria. Ada 2 kemungkinan di sini, samada kita memang benar-benar disukai atau mereka sekadar menjaga hati kita saja. Jadi jangan la gembira sangat tau… ;-)

Kesimpulan :

Tidak salah kita beranggapan kita akan berjaya berdasarkan dengan anggapan-anggapan yang telah dinyatakan di atas. Ini akan membuatkan kita lebih bersemangat dan berfikiran positif selalu.

Akan tetapi, kita tidak boleh pula terlalu yakin..Kelak, jika keputusan yang keluar adalah mengecewakan frust menonggeng pula kita, kan.. Jadi walau apapun, kita hendaklah membuat yang terbaik untuk sesi temuduga tersebut dan jangan lupa berdoa kepada ALLAH semoga kita akan memeperoleh kejayaan dalam temuduga tersebut.

Sekian saja informasi kali ini. Terima kasih. ;-)

No comments:

Post a Comment